Memahami makna ‘Muslim Moderat’

Anwar menerima gelaran tokoh “Muslim Democrat of the Year Award 2005″ anjuran CSID (Center for the Study of Islam and Democracy), Amerika. Foto ini menunjukkan anggota-anggota CSID, dari kiri, Antony Sullivan, (Vice-Chair CSID), Radwan Masmoudi (President CSID), Anwar Ibrahim dan yang tidak bertudung ialah Asma Afsaruddin (Chair CSID). CSID ditaja oleh dana Amerika yang kebanyakan dibayangi oleh tokoh-tokoh Yahudi Amerika iaitu NED, NDI, IRI dan USAID.

Oleh: Adian Husaini

Sebahagian umat Islam terjebak dalam perangkap Amerika dan sekutu-sekutunya dengan memberi gelaran “Islam moderat”, “Islam radikal”, “Islam militan” atau “Islam fundamentalis”.

Akhir-akhir ini, seperti sudah menjadi kemestian berfikir di berbagai-bagai media massa, bahawa pada zaman globalisasi, corak keislaman yang ‘baik’ adalah menjadi Muslim yang Moderat. Dengan kata lain, bukan menjadi Muslim yang liberal atau yang radikal.

Istilah “moderat” ini dimunculkan dan dipopularkan oleh berbagai-bagai kalangan, baik cendekiawan, pemerintahan Muslim, atau tokoh-tokoh agama.

Apakah sebenarnya makna “Islam moderat”, yang kadang-kadang disamakan dengan istilah “ummatan wasatha”?

Istilah “moderat” (moderate) berasal dari bahasa Latin ‘moderare’ yang artinya “mengurangkan atau mengkontrol”.

Kamus The American Heritage Dictionary of the English Language mendefinisikan moderate sebagai: (1) not excessive or extreme (tidak melampau/ektrim) (2) temperate (sederhana) (3) average; mediocre (purata; sederhana) (4) opposed to radical views or measures (berlawan dengan radikal dari segi pendapat-pendapat atau langkah-langkah) .

Sebagai satu sistem ajaran dan nilai, sepanjang sejarahnya, Islam tidak menafikan kemungkinan mengambil istilah-istilah asing untuk diadaptasi menjadi istilah baru dalam khazanah Islam. Tetapi, istilah baru itu harus benar-benar diberi makna baru, yang sesuai dengan Islam.

Istilah itu tidak wajar dibiarkan liar, seperti maknanya yang asli dalam agama atau peradaban lain. Kita sudah banyak mengambil istilah baru dalam Islam, seperti istilah “agama”, “pahala”, “dosa”, “sorga”, “neraka”, yang berasal dari tradisi Hindu, tetapi kita berikan makna baru yang sesuai dengan konsep Islam.

Dari peradaban Barat saat ini, kita mengambil banyak istilah, seperti istilah “worldview”, “ideologi”, dan sebagainya. Semua istilah ini boleh diadaptasi, asalkan sudah mengalami proses penyesuaian makna dengan makna Islam, sehingga tidak menimbulkan kekacauan makna.

Sikap wasathiyah (sederhana) adalah karakter ajaran Islam itu sendiri. Istilah wasathiyah, menurut Dr. Muhammad Imarah, sering disalahartikan. Dalam bukunya, “Ma’rakah al-Mushthalahat bayna al-Gharb wa al-Islam” (Di Indonesiakan oleh Musthalah Maufur MA dengan judul “Perang Terminologi Islam versus Barat”), Imarah menjelaskan panjang lebar makna konsep “al-wasathiyah” di dalam Islam.

Istilah “al-wasathiyah” dalam pengertian Islam mencerminkan karakter dan jatidiri yang khusus yang dimiliki oleh manhaj (jalan/pegangan) Islam dalam pemikiran dan kehidupan; dalam pandangan, pelaksanaan, dan penerapannya.

Di dalam istilah ini, terserlah karakter dasar Islam yang terpenting yang membezakan manhaj Islam dari metodologi-metodologi (kaedah) yang ada dalam fahaman-fahaman, aliran-aliran, serta falsafah lain. Sikap wasathiyah Islam adalah satu sikap penolakan terhadap ekstrimis dalam bentuk kezaliman dan kebathilan. Ia tidak lain tidak bukan merupakan cerminan dari fitrah asli manusia yang suci dan belum tercemar dengan pengaruh-pengaruh negatif.

Allah berfirman (yang ertinya): “Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas manusia.” (al-Baqarah:143).

Umat yang adil dan umat pilihan adalah ‘ummatan wasatha’ (umat pertengahan). Untuk saat ini, terjemahan “umat pertengahan” atau “umat yang adil dan pilihan” mungkin lebih tepat daripada istilah “umat moderat”, kerana terlalu banyak kesamaran dalam istilah “moderat” yang digunakan oleh Barat dan kaum sekular-liberal ketika ini.

Menjelaskan tentang makna ayat 143 surat al-Baqarah tersebut, dalam Tafsir al-Azhar, Prof. Hamka menyatakan, bahawa kehadiran Nabi Muhammad saw dan umat Islam adalah untuk menjadi jalan tengah bagi ekstrimis dua komuniti Yahudi dan Kristian; umat Yahudi yang lebih condong kepada urusan dunia semata-mata dan umat Nasrani yang condong kepada kehidupan kerohanian semata-mata, dengan memencilkan diri di biara-biara dan tidak berkahwin.

Umat Islam adalah umat yang pertengahan, yang menjadikan urusan fizikal sebagai hal penting dan juga seperti urusan batin (kerohanian). Ayat ini berkaitan dengan masalah solat, dijadikan contoh sebagai ibadah yang menggabungkan antara urusan fizikal dan kebatinan. Dalam solat, jelas sekali pertemuan tersebut. Solat dikerjakan dengan badan, melakukan sujud dan ruku’, menghadap kiblat, berpakaian bersih dan bebas najis, dan sebagainya. Tetapi semuanya itu juga harus dilakukan dengan hati yang khusyu’.

Begitu juga sikap wastahiyah Islam itu pada aturan zakat, yang hanya boleh dilakukan oleh orang yang berharta sesuai dengan aturan nisab. Ertinya, umat Islam diperintahkan mencari harta sebanyak-banyaknya, untuk menegakkan amal soleh dan setelah itu dibahagikan kepada orang yang memerlukan. Begitu juga dengan aturan puasa, haji, dan sebagainya. Semua itu adalah watak ajaran Islam, yang mementingkan urusan badan dan urusan batin.

Sikap wasathiyah Islam itu berbeza dengan sikap umat-umat lainnya, baik kaum Yahudi, Kristian, Hindu, dan sebagainya.

Kata Hamka: “Bangkitnya Nabi Muhammmad saw di padang pasir Arabia itu, adalah membawa ajaran bagi membangunkan ummatan wasathan, suatu ummat yang menempuh jalan tengah, menerima hidup di dalam kenyataannya. Percaya kepada akhirat lalu beramal di dalam dunia ini. Mencari kekayaan untuk membela keadilan, mementingkan kesihatan rohani dan jasmani, kerana kesihatan bertalian dengan yang lain”

Mementingkan kecerdasan fikiran, tetapi dengan menguatkan ibadat untuk menghaluskan perasaan. Mencari kekayaan sebanyak-banyaknya, kerana kekayaan adalah alat untuk berbuat baik. Menjadi khalifah Allah di atas bumi, untuk bekal menuju akhirat. Kerana kelak akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.

Selama ummat ini masih menempuh shiratal mustaqim, jalan yang lurus, selama itu juga mereka akan tetap menjadi ummat jalan tengah.”

Dengan kedudukan sebagai ummatan wasathan itu, maka umat Islam akan menjadi saksi atas umat yang lain.

Kata Hamka: “Umat Muhammad menjadi ummat tengah dan menjadi saksi untuk ummat yang lain, dan Nabi Muhammad saw menjadi saksi pula atas ummatnya itu, adakah mereka jalankan pula tugas yang berat tetapi suci ini dengan baik?”

Itulah makna “ummatan wasathan”, umat pertengahan, umat yang adil, umat yang menjadi saksi atas ummat yang lain, dengan menyampaikan risalah Islam kepada seluruh umat manusia. Dengan pandangan dan sikap ‘wasatha’, setiap Muslim dilarang melakukan tindakan ‘tatharruf’ atau ekstrim dalam menjalankan ajaran agama.

Umat Islam merupakan umat penyeimbang daripada umat agama lain. Umat Islam mampu menyeimbangkan antara kehidupan dunia dan akhirat, tidak terlalu materialis duniawi, seperti kaum Yahudi atau meninggalkan kehidupan dunia seperti berbagai-bagai pemeluk agama lain. Umat Islam menyeimbangkan antara aspek jasmani dan rohani. Itulah makna umat wasathan, umat pertengahan.

Tetapi, konsep ‘al-wasathiyyah’ bukan bererti sikap yang tidak berpihak kepada kebenaran, tidak memiliki pendirian untuk menentukan yang mana haq dan mana yang bathil. Al-Wasathiyyah juga tidak bermakna sikap ‘plin-plan’, dengan mengorbankan kebenaran demi untuk mencapai tujuan keduniawian.

Saat ini, terdapat kecenderungan menyalahgunakan makna al-Wastahiyyah oleh beberapa kalangan, dan menyamakannya dengan konsep moderatisme Islam yang kabur maknanya.

Malah, terdapat juga yang menggunakan istilah “Islam moderat” dengan makna yang sama dengan istilah “Islam Inklusif” atau “Islam Pluralis”. Melalui konsep yang bertopengkan istilah “Islam Moderat” itu pula, kemudian disebarkan fahaman “Pluralisme Agama” (At-Ta’addudiyah al-Diniyyah), yang menyatakan semua agama itu adalah sama dan benar.

Kerana munculnya berbagai-bagai kesamaran makna konsep “pertengahan” (al-wastahiyyah) atau “moderatisme” di kalangan masyarakat Muslim Indonesia saat ini, maka sangat mendesak dilakukannya suatu pengkajian yang serius dan ilmiah terhadap konsep “al-wasathiyyah” dalam Islam, agar tidak terjadi kesamaran dan pengaburan makna.

Disarankan, para cendekiawan dan tokoh-tokoh umat agar berhati-hati dalam menggunakan istilah “Islam moderat”, dan tidak begitu mudah menyamakannya dengan istilah “ummatan wasathan”. Jika terpaksa menggunakannya, berikanlah definisi yang jelas, yang berbeza dengan definisi yang dipopularkan oleh kaum liberal dan pluralis pada saat ini.

Sebab, “moderatisme Islam” ketika ini juga sedang dijadikan sebagai bahan propaganda untuk meliberalkan Islam di Indonesia, sebagaimana diprogramkan oleh penaja asing yang beroperasi di Indonesia, seperti The Asia Foundation dan sebagainya.

Lebih baik dan lebih aman jika saat ini kita tidak terikut-ikut menambah daftar panjang predikat Islam, seperti “Islam modernis”, “Islam tradisionalis”, “Islam liberal”, “Islam fundamentalis”, “Islam radikal”, “Islam salafi”, “Islam rasional”, “Islam militan”, “Islam konservatif”, “Islam kanan”, “Islam kiri”, “Islam garis keras”, “Islam kultural”, “Islam struktural”, dan sebagainya.

Lebih baik kita menyebut “Islam” saja. Islam yang satu, dan tidak dipecahbelahkan menjadi berbagai – bagai jenis Islam, yang maknanya kabur dan tidak jelas.

David E. Kaplan menulis dalam artikelnya, “Hearts, Minds, and Dollars”, (www.usnews.com, 4-25-2005), bahawa saat ini, Amerika melabur dana puluhan juta dollar dalam rangka propagandanya untuk – bukan hanya mengubah masyarakat Muslim – tetapi juga untuk mengubah Islam itu sendiri.

Menurut Kaplan,buat pertama kalinya White House telah bersetuju strategi rahsia, untuk Amerika memiliki kepentingan nasional mempengaruhi apa yang terjadi di dalam Islam.

Sekurangnya di 24 negara Muslim, Amerika secara diam-diam telah menaja radio Islam, acara-acara TV, kursus-kursus di sekolah Islam, pusat-pusat kajian, workshop (bengkel) politik, dan program-program lain yang mempromosi Islam moderat.

Amerika dan sekutu-sekutunya memang bermotif agar kaum Muslim tidak menjadi ancaman bagi hegemoni peradaban mereka. Kerana itu, mereka menjadikan umat Islam sebagai umat yang moderat (versi mereka).

Mereka biayai begitu banyak lembaga Islam dan mahasiswa Islam agar memiliki pemikiran dan sikap hidup yang sesuai dengan kehendak mereka. Di dalam konsep mereka, Islam moderat adalah Islam yang tidak meyakini kebenaran agamanya sendiri, Islam yang ‘jinak’, tidak peduli dengan penderitaan dan penindasan yang dialami oleh saudara-saudaranya sesama Muslim.

Mereka (Barat) ciptakan istilah-istilah yang indah dan yang buruk, untuk memecahbelahkan umat Islam. Istilah “Islam moderat” dilagakan dengan istilah “Islam radikal”, “Islam militan”, “Islam fundamentalis”, dan sebagainya, yang maknanya tidak didefinisikan dengan jelas.

Kita berharap, para tokoh dan cendekiawan Muslim dapat lebih berhati-hati dalam mengadaptasi satu istilah yang bukan berasal dari khazanah Islam. Jangan sampai mereka hanya menerima istilah tanpa diberikan definisi (ta’rif) yang jelas. Jangan sampai pula, mereka hanya menjadi saluran untuk mempopularkan satu istilah yang maknanya sudah diprogram secara sistematik sesuai dengan agenda mereka untuk memecahbelahkan umat.

Pada zaman yang penuh dengan ‘fitnah’ seperti sekarang ini, kita perlu lebih berhati-hati lagi dalam menyebarkan maklumat, jangan mudah tergoda, kerana kita yakin, segala amal perbuatan dan ilmu kita akan dipertanggungjawabkan di Hari Akhirat kelak.

Kita tidak perlu mengikuti sikap sebahagian kalangan yang tidak mempedulikan Hari Akhirat, tidak peduli dosa dan pahala, dan kemahuan sendiri untuk merosak istilah-istilah serta ajaran Islam, semata-mata mengharapkan ganjaran keuntungan duniawi yang teramat remeh. Mereka akan mendapatkan bahagiannya di dunia ini, tetapi pasti akan menyesal di Akhirat nanti.

Wallahu a’lam. (Depok, 30 Juni 2006/hidayatullah. com).

Catatan Akhir Pekan [CAP] Adian Husaini adalah kerjasama antara Radio Dakta 107 FM dan http://www.hidayatullah.com

Nota : AIDC menterjemah artikel Adian Husaini, daripada website swaramuslim.net, bertajuk, “Islam Moderat”. Artikel asal klik di sini

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: